Wednesday, November 7, 2012

dia seorang pemimpi.

ada seorang dara. 

dia suka simpan cita-cita. dia selalu pendam angan-angan. tapi dia tak pernah terfikir nak jadikan apa yang dimimpikan itu nyata. sebab bagi si dara, dia sudah punya segalanya. dia ada ibu yang menyayangi tanpa syarat, dia ada ayah yang sanggup berbuat segala macam untuknya, dia punya adik-beradik yang boleh dipukul disepak diterajang tapi dipeluk dan dicium pada masa yang sama. dia rasa hidupnya sudah sempurna.

tapi satu hari, sewaktu si dara masih ralit bermain dengan angan-angan tanpa tujuan, ada seseorang datang mengetuk pintu rumah. katanya dia utusan Allah. dia datang untuk memungut apa milik Allah. si dara buat-buat tak faham. katanya semua dalam rumah ini miliknya. milik abah, milik mama. milik along angah alang dia dan adik.

utusan itu diam, namun langkahnya tidak terhalang. dia masuk secara senyap dan memegang tangan ibu si dara. si dara bergegas memeluk ibunya, namun ibunya berpesan jangan lawan, jangan paksa kehendak Pemilik kita. jangan lupa kita hartaNya. lalu ibu si dara pergi dalam diam. 

si dara tidak pasti samada raungan dan rengekannya dan adik beradik didengari ibunya.

masa berlalu. si dara tidak lagi bermimpi. dia sudah putus harapan untuk bermimpi. ayahnya sudah ada pengganti tempat kosong sebelah pemandu dalam kereta. pengganti yang meletakkan tandanya di setiap tempat ibunya. si dara sedih. si dara tidak boleh berkata apa-apa. 

adik beradik si dara sudah besar. sudah ada keluarga sendiri. sudah memasang angan-angan tinggi. sudah marah bila dikasari, tidak boleh bergurau senda lagi. hidup mereka sudah dipenuhi ramai orang asing, orang baru yang lebih penting. tempat untuk si dara makin hari makin terasing.

si dara sudah tidak mampu berdiri. kadang-kadang dia boleh berlari. tetapi hanya untuk tiga detik. 1 2 3. seringkali si dara terfikir mahu ikut ibunya pergi. tapi hatinya masih takut mati. tidak. masih percaya pada Tuhannya lagi.

kadang-kadang, sepi itu hadir saat kita dikerumuni. si dara faham rasa itu. si dara mengerti.